11/24/2015

Momen2 Matluthfi

Buku ini buat aku mahu menulis kembali. Bagaikan berbicara dengan rakan sebaya. Dua jam masanya untuk aku habiskan setiap helai. Namun begitu, harus aku selak semula untuk fahami maksud dasarnya. Lawak santai seperti biasa, tapi dengan ilmu lebih berharga.


Setiap baris dan butir kata di setiap helaian mengingatkan aku kepada sahabat handai di sini. Sahabat yang boleh bergurau dan berbicara perkara berat pada waktu yang sama. Sahabat yang sering berfikir dan selalunya menongkah arus. Mempersoalkan setiap perkara agar lebih bererti. Sehinggakan perkara yang bukan mainstream menjadi mainstream antara kami. Ironi.

Perbincangan yang ini aku sukakan. Bukan hanya disokong logik semata-mata atau hanya dalil agama. Bukan perbincangan untuk menghukum sebaliknya perbincangan untuk mencari punca dan penyelesaian. Aku rindu perbualan ini.

Aku sangat suka akan buku kali ini. Momen2 Matluthfi berat dan ringan pada masa yang sama. Tulisan yang mengajak masyarakat untuk berhenti seketika dan menilai semula tahap dan nilai kehidupan sendiri. Rasanya tiada apa yang aku bangkang di setiap helaian penulisannya. Aku sayang matluthfi kerana idea dan penyampaiannya. Menyentuh pelbagai aspek kehidupan, menimbulkan beribu persoalan, menyedarkan diri ini hanya insan.

Setiap manusia tidak sempurna, aku, kau, dia, kita, mereka. Mungkin kau akanbertanya, "Bagus sangat ke matluthfi tu?". Bagi aku, YA. Dia sangat bagus. Semoga dia tidak berubah mengikut zaman, teguhlah wahai mat, kerana kami perlukan ramai seperti kau.

Kini, aku perlu masa. Untuk kaji semula maksud kata dasarnya. Mungkin aku akan jumpa, mungkin tidak. Mungkin apa yang akan disampaikan berlainan dengan apa yang difahami. Itulah risiko seorang penulis. Penilaian hanya terletak kepada diri yang membaca setiap helaian.

Mungkin jika mat duduk bersama kami, boleh jadi sahabat kamceng. Silalah baca buku baru mat ni.