12/06/2015

Kerana siapa?

Selama ini aku dengar orang kata, “jangan belajar kerana markah, gred, A, belajarlah kerana Tuhan”. Ada sesiapa boleh terangkan kepada aku bagaimana mahu belajar kerana Tuhan? Bagaimana mahu kekalkan niat belajar itu kerana Dia? Kerana setiap orang berkata belajarlah kerana Tuhan, letakkan Dia di tempat pertama. Tapi bagaimana?

Aku rasa selama ini aku hanya lihat orang di sekeliling belajar kerana markah, kerana mahukan sesuatu pekerjaan, kerana mahukan biasiswa, kerana mahu menjadi yang dikenali atau kerana ibu bapa, atau yang terakhir itu juga dikira sebagai kerana Tuhan? Ataupun yang banyaknya, belajar kerana sudah dihantar ke sekolah ataupun paksa rela untuk belajar. Jadi sebenarnya tiada lagi yang aku lihat belajar kerana ibu bapa.

Memang ada mereka yang belajar dan sambil itu mereka solat sunat, berusrah, tadarus, melakukan semua perkara yang baik. usaha mereka ini tidak aku rendahkan, tetapi persoalanku, inikah yang dikatakan belajar kerana Tuhan? Adakah terdapat satu definisi tetap belajar kerana Tuhan?

Persoalan kedua, adakah kita belajar kerana Tuhan atau disebabkan Tuhan? “Kerana” dan “Sebab” adalah berlainan. Bagi aku la ada dua makna. “Kerana” digunakan apabila kau buat sesuatu dengan kehendak kau sendiri. Maksudnya, kau yang menetapkan musabab untuk perkara yang kau lakukan. “Sebab” pula gunanya apabila kau buat sesuatu, kerana ada benda yang membuatkan kau lakukannya. Mungkin ke arah terpaksa. Itu interpretasi aku, bagi orang lain, tidak tahulah.

Jadi, kita belajar kerana atau sebab Tuhan? Walaupun aku sebenarnya masih tidak nampak mereka yang belajar kerana Tuhan.

Ada sahabat aku sekarang yang belajar kerana ilmu, itu aku sudah nampak, mereka belajar bukan hanya yang di ajar, mereka mencari lagi, menghilangkan dahaga pengetahuan. Itu belajar kerana ilmu, kerana Tuhan? Persoalan yang sama aku ajukan di setiap perenggan, jawapannya?